 |
| ♥♥ |
Assalamualaikum w.b.t.,
Benar, cinta boleh menjadi perkara yang penting dalam hidup insani.
Namun begitu, adakah cinta yang kita taburkan itu mengikut lunas-lunas
yang haq?
Teliti kalamullah di bawah:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada
benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan
anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan
perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang
ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup
di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang
sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah
supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya
itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan
mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka
kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri
yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya." (Surah Ali' Imran 3: 14-15)
Lihat, dunia memang dijadikan indah buat insan, namun, masih ada
keindahan yang lebih baik buat kita iaitu syurga yang telah Allah
janjikan.
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan
saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum
keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang
kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu
sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk
agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab
seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang
yang fasik (derhaka)." (Surah At-Taubah 9: 24)
Manakala, ayat yang kedua ini pula menerangkan balasan Allah (azab
seksa) yang dijanjikan akibat kecintaan duniawi itu melebihi kecintaan
kepada Allah.
Maka, fikir-fikirkanlah....
Kita mempunyai pilihan untuk mencintai mana-mana yang kita suka, namun,
Allah telah menerangkan dengan jelas dalam firman-firman-Nya tentang
cinta yang lebih baik, yang lebih patut kita utamakan. Maka, buatlah
pilihan yang terbaik, agar kesejahteraan ukhrawi itu menjadi milik kita
semua. Insya-Allah :)
Gadaikan dunia untuk kebaikan berganda di akhirat. :) Teruskan berusaha untuk menjadi ummat cemerlang.